Abstrak
Pemandiri strok kerap mengalami kemerosotan fungsi yang menjejaskan tahap kendiri dan kualiti hidup. Senaman litar terbukti memberi manfaat, namun bukti mengenai integrasi elemen permainan dalam rehabilitasi masih terhad. Checkercise®, iaitu senaman litar berasaskan permainan yang inovatif, dibangunkan untuk menggabungkan latihan terapeutik dengan pengalaman interaktiviti yang menyeronokkan. Kajian ini menilai keberkesanannya berbanding senaman litar konvensional. Satu kajian rawak terkawal telah dijalankan melibatkan 88 pemandiri strok subakut (min umur = 58.6 + 9.9 tahun) yang dibahagikan kepada kumpulan kajian (Checkercise®) atau kawalan. Kedua-dua kumpulan mengikuti sesi latihan berjadual dua kali seminggu selama 12 minggu di bawah pengawasan ahli fisioterapi. Ukuran hasil meliputi ujian duduk berdiri 30 saat (kekuatan kaki), Dynamic Gait Index (DGI) (kestabilan badan), ujian berjalan 6 minit (ketahanan aerobik) dan soal selidik Short Form-36 (SF-36) (kualiti hidup). Penilaian dilakukan pada peringkat awal (pra-ujian), minggu ke-12, ke-24 dan ke-36. Analisis menggunakan mixed model ANOVA telah dijalankan. Hasil kajian menunjukkan kesan interaksi yang signifikan (p < 0.05) dengan saiz kesan yang kecil (0.03–0.04) terhadap ujian duduk berdiri 30 saat dan skor fizikal serta mental SF-36, dengan peningkatan lebih besar dalam kumpulan kajian (ujian duduk berdiri 30 saat: +34%; skor fizikal SF-36: +41%; skor mental SF-36: +29%) berbanding kumpulan kawalan. Kesan kumpulan kajian yang signifikan (p < 0.05) dengan saiz kesan kecil (0.04–0.05) turut dicatat untuk DGI (+18% berbanding +16%) dan ujian berjalan 6 minit (+30% berbanding +25%). Analisis post hoc mengesahkan peningkatan prestasi yang berkekalan sehingga 6 bulan (p < 0.05) dalam kumpulan kajian bagi ujian duduk berdiri 30 saat (10%), DGI (4%), ujian berjalan 6 minit (12.8%), dan komponen fizikal soal selidik SF-36 (8.9%), manakala kumpulan kawalan hanya mengekalkan peningkatan pada DGI sahaja (4.5%). Kesimpulannya, Checkercise® berkesan dalam meningkatkan serta mengekalkan fungsi fizikal dan kualiti hidup, seterusnya berpotensi sebagai strategi rehabilitasi yang menarik dan berkesan.
Kata Kunci :
Fungsi; kualiti hidup; strok,