Abstrak
Kajian keratan rentas prospektif ini menilai persepsi pelatih pascasiswazah anestesiologi terhadap persekitaran pembelajaran di dewan bedah (OT) di seluruh Malaysia menggunakan soal selidik ‘Anaesthetic Trainee Theatre Educational Environment Measure’ (ATEEM) yang divalidasikan. Instrumen ini terdiri daripada 40 item yang dikategorikan kepada lima domain. Data dianalisa menggunakan statistik deskriptif, ‘ujian-t bebas dan Analisis Varians. Seramai 152 pelatih memberikan maklum balas (kadar maklum balas 52%). Purata skor keseluruhan ATEEM ialah 121.5 + 21.9. Antara domain yang dinilai, “Persepsi Autonomi” menerima skor peratusan purata julat tertinggi (88.1%) manakala “Beban Kerja, Penyeliaan dan Sokongan” adalah yang terendah (65%). Pelatih lelaki melaporkan markah yang jauh lebih tinggi dalam domain “Peluang Pembelajaran dan Orientasi kepada Pembelajaran” (p = 0.034). Pelatih dari hospital bukan universiti yang bertauliah menganggap guru dan pengajaran mereka lebih baik berbanding pelatih dari hospital universiti (p = 0.040). Perbezaan ketara telah diperhatikan mengikut tahun latihan bagi beberapa item dalam domain “Atmosfera”, “Beban Kerja/Penyeliaan/Sokongan” dan “Guru dan Pengajaran”. Pelatih yang berasaskan universiti menyatakan ketidakpastian yang lebih tinggi mengenai item-item tertentu dalam domain yang sama, manakala tiada perbezaan yang ketara ditemui dalam domain “Autonomi” dan “Peluang Pembelajaran dan Orientasi kepada Pembelajaran”. Perbandingan berpasangan post hoc turut dijalankan untuk item-item yang menunjukkan perbezaan signifikan. Secara keseluruhannya, persekitaran pembelajaran di OT dinilai secara positif. Walau bagaimanapun, kebimbangan telah dibangkitkan berkaitan beban kerja, suasana persekitaran dan kualiti pengajaran. Khususnya, persepsi positif terhadap kualiti pengajaran didapati merosot dalam kalangan pelatih yang beralih daripada hospital bukan universiti ke hospital universiti. Penemuan ini menekankan keperluan untuk mengkaji perbezaan antara institusi serta melaksanakan strategi yang bersasar bagi meningkatkan konsistensi dan kualiti pengalaman pembelajaran di OT.
Kata Kunci :
Anaesthetic Trainee Theatre Education Environment Measure; bilik bedah; persekitaran pembelajaran; pelatih lepasan siswazah anestesiologi,