Abstrak
Gangguan muskuloskeletal (MSD) merupakan masalah kesihatan awam yang utama kerana menjejaskan pergerakan, produktiviti dan kualiti hidup. Minat terhadap makanan berfungsi dan nutraseutikal semakin meningkat dan spesies Moringa, yang digunakan secara meluas sebagai makanan dan kaya dengan sebatian bioaktif, kini diterokai bagi peranannya dalam kesihatan muskuloskeletal. Walau bagaimanapun, keberkesanannya dalam pengurusan MSD masih belum jelas. Ulasan sistematik ini menilai keselamatan dan potensi terapeutik Moringa dalam pengurusan MSD berdasarkan garis panduan "Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta-Analyses" dan kerangka "Population, Intervention, Comparison and Outcome". Carian menyeluruh dilakukan di PubMed, Scopus dan Web of Science. Kajian yang layak merangkumi ujian terkawal rawak, ujian terkawal serta kajian kuasi-eksperimen melibatkan manusia atau haiwan dengan MSD yang dirawat menggunakan Moringa. Risiko bias dinilai menggunakan alat "Joanna Briggs Institute" dan "Systematic Review Centre for Laboratory Animal Experimentation". Sebanyak 16 kajian memenuhi kriteria inklusi (5 kajian manusia, 11 kajian haiwan). Moringa menunjukkan pengurangan kesakitan yang signifikan dalam kalangan manusia. [Skor "Visual Analogue Scale" (VAS) keletihan berkurang sebanyak 32.7, manakala skor VAS sakit sendi berkurang sebanyak 12] serta penanda keradangan seperti serum amyloid A, tumor necrosis factor-alpha dan interleukin-6. Kajian ke atas haiwan pula menunjukkan kesan analgesik yang kuat, termasuk pengurangan kejang sebanyak 83.66% dan pengurangan edema sebanyak 97.33% pada dos 500 mg/kg serta pengurangan tekanan oksidatif seperti malondialdehyde. Tiada toksisiti utama diperhatikan pada dos sehingga 2000 mg/kg. Kesimpulannya, Moringa berpotensi sebagai agen anti-radang, analgesik, dan antioksidan yang selamat untuk menyokong kesihatan muskuloskeletal. Namun, lebih banyak ujian klinikal yang berkualiti tinggi diperlukan untuk mengesahkan keberkesanan, menentukan dos optimum, dan menjamin keselamatan penggunaan.
Kata Kunci :
Kelegaan kesakitan; keradangan; Moringa; perubatan alternatif; tekanan oksidatif,