Abstrak
Inventori Obsesif-Kompulsif yang dikemaskini (OCI-R) ialah satu instrumen yang sah dan boleh dipercayai yang digunakan untuk menyaring gejala kecelaruan obsesif kompulsif (OCD). Instrumen ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, namun sehingga kini tiada terjemahan instrumen ini dilakukan dalam Bahasa Melayu. Justeru itu, tujuan kajian ini adalah untuk menilai kebolehpercayaan dan kesahan OCI-R versi Bahasa Melayu dalam populasi komuniti. Soal selidik yang mempunyai 18 item telah dilengkapkan oleh 223 individu sihat. Versi bahasa Inggeris OCI-R diterjemahkan ke hadapan dan ke belakang ke dalam Bahasa Melayu. Sebelum soal selidik diedarkan kepada peserta, keesahan muka telah dilakukan. Analisis faktor eksploratori (EFA) dan analisis faktor pengesahan (CFA) telah dijalankan untuk menentukan kualiti psikometrik OCI-R dalam Bahasa Melayu. Seramai 223 responden dengan purata umur 33 (6.9) tahun, dan 62% daripada responden adalah wanita yang mengambil bahagian dalam kajian ini. Berdasarkan EFA, OCI-R versi Bahasa Melayu menunjukkan konsistensi dalaman yang tinggi dan kesahan konvergen yang baik dengan lima domain faktor iaitu "Mencuci", "Mengatur", "Obsesi", "Memeriksa" dan "Menyimpan”. Analisis CFA menunjukkan indeks kesesuaian yang mencukupi (ꭓ2(160) = 4.24, "Root mean square error of approximation" = 0.09, "goodness of fit index" = 0.89, "adjusted goodness of fit index" = 0.82, "normed fit index" = 0.91 dan "comparative fit index" = 0.93) yang menyokong struktur lima domain faktor. OCI-R versi Bahasa Melayu mempunyai konsistensi dalaman yang kuat, menjadikannya alat saringan yang boleh dipercayai dan sah untuk mengenal pasti gejala OCD dalam kalangan masyarakat umum. Bagi meningkatkan kebolehlaksanaan dapatan ini, kajian yang lebih besar harus dijalankan dengan saiz sampel yang lebih ramai dan melibatkan pesakit psikiatri.
Kata Kunci :
Kebolehpercayaan; kecelaruan obsessif compulsif; kesahan; OCI-R,