Abstrak
Aktiviti pendakian merupakan satu aktiviti yang memberi manfaat kesihatan dari segi kardiovaskular, psikologi dan kualiti tidur. Aktiviti ini juga semakin popular di kalangan wanita. Walau bagaimanapun, keadaan persekitaran di kawasan altitud tinggi boleh memberi kesan yang unik kepada fisiologi wanita, terutamanya kepada kesihatan seksual dan reproduktif (SRH) mereka. Ulasan skop ini melihat isu-isu SRH yang dialami oleh pendaki wanita yang terdedah kepada persekitaran altitud tinggi dalam masa yang singkat. Ulasan ini dijalankan mengikut metodologi dari Institut Joanna Briggs dan dilaporkan mengikut garis panduan Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta-Analyses extension for Scoping Reviews (PRISMA-ScR). Carian secara sistematik dilakukan melalui pangkalan data PubMed, Scopus dan Web of Science dengan menggunakan kata-kata kunci dan sinonim berkaitan wanita, kesihatan reproduktif, pendakian dan altitud tinggi. Kriteria inklusi merangkumi kajian yang membincangkan isu SRH dalam kalangan pendaki wanita. Sebanyak 15 kajian memenuhi kriteria ini. Isu yang dilaporkan dikategorikan kepada enam topik: gangguan kitaran haid dan ketidakseimbangan hormon; interaksi antara pemakanan dan kitaran haid; kehamilan di altitud tinggi; penggunaan kontraseptif; perkaitan antara haid dan penyakit gunung akut; serta cabaran-cabaran lain termasuk gangguan seksual dan halangan penyertaan berkaitan haid. Kebanyakan kajian adalah berskala kecil dan bersifat pemerhatian, dengan lebih separuh diterbitkan sebelum tahun 2005. Walaupun penyertaan wanita dalam aktiviti pendakian gunung semakin meningkat, masih terdapat jurang pengetahunan mengenai pemahaman terhadap kesan jangka pendek pendedahan kepada altitud tinggi terhadap SRH wanita. Ulasan skop ini menekankan keperluan penyelidikan khusus untuk menangani jurang pengetahuan ini dan membangunkan garis panduan berasaskan bukti untuk pendaki wanita. Penyertaan yang selamat dalam aktiviti di altitud tinggi membolehkan golongan wanita menikmati manfaat ini tanpa menjejaskan kesihatan seksual dan reproduktif mereka.
Kata Kunci :
Altitud tinggi; kesihatan seksual dan reproduktif; pendaki wanita,