Abstrak
Kesukaran dalam tulisan tangan ialah perkara biasa dalam masyarakat teknologi masa kini, walaupun ia merupakan satu keperluan dalam pendidikan. Kebiasaanya, ahli terapi cara kerja menggunakan penilaian tulisan tangan untuk mengenal pasti kesukaran tersebut. Walau bagaimanapun, tiada instrumen penilaian tulisan tangan untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun yang tersedia dalam Bahasa Malaysia. Oleh itu, OTulis merupakan penilaian tulisan tangan dalam Bahasa Malaysia yang baru dibangunkan dan ditukar menjadi aplikasi bagi menjadikannya lebih mudah diakses. Kajian ini bertujuan untuk menilai kebolehgunaan aplikasi OTulis serta menilai prestasi tulisan tangan dalam kalangan kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun di Malaysia. Kajian ini dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama melibatkan temu bual separa berstruktur dan soal selidik kebolehgunaan. Lima responden telah dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan dan data dianalisis melalui analisis deskriptif dan kandungan. Dalam fasa kedua, kanak-kanak direkrut melalui persampelan mudah dan prestasi tulisan tangan mereka dinilai. Data yang diperoleh dianalisis secara deskriptif. Penemuan menunjukkan bahawa aplikasi OTulis mempunyai kebolehgunaan yang baik. Penemuan ini mendedahkan bahawa kebanyakan kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun telah mencapai genggaman pensel yang matang serta dapat menyalin dengan tepat masing-masing 13 huruf besar dan 11 huruf kecil, 24 huruf besar dan 25 huruf kecil, serta 24 dan 25, masing-masing. Aplikasi OTulis mempunyai kebolehgunaan yang baik dan sesuai digunakan oleh ahli terapi cara kerja, guru prasekolah dan ibu bapa. Secara keseluruhannya, penemuan menunjukkan bahawa prestasi tulisan tangan kanak-kanak bertambah baik dengan peningkatan umur.
Kata Kunci :
Kanak-kanak prasekolah; penilaian tulisan tangan; perkembangan tulisan tangan; prestasi tulisan tangan; terapi pekerjaan,