Abstrak
Pelaksanaan suntikan sperma ke dalam sitoplamik (ICSI) terutamanya kepada rawatan faktor kemandulan lelaki telah diperkenalkan namun masih ada sekurang-kurangnya 1-5% kegagalan persenyawaan berterusan disebabkan pengaktifan oosit yang lemah. Oleh itu, kami melakukan kajian kohort prospektif di Pusat Reproduktif Termaju, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menilai peranan pengaktifan oosit buatan (AOA) dalam meningkatkan kadar persenyawaan melalui penggunaan kalsium ionofor GM508. Kajian ini melibatkan seramai 43 wanita yang didapati mempunyai kadar persenyawaan rendah (LFR) atau kegagalan keseluruhan persenyawaan (TFF) dengan membandingkan kitaran indeks persenyawaan in vitro (IVF) mereka dengan kitaran IVF-AOA berikutnya. Kami mendapati bahawa kebanyakan peserta merupakan wanita yang lebih berusia, dengan purata umur 38.44 tahun dan majoriti mengalami subfertiliti primer yang kebanyakannya berpunca daripada faktor lelaki. Penemuan kami mendapati peningkatan dalam kadar persenyawaan (FR) dengan peningkatan selanjutnya dalam kadar belahan embrio dan kadar kualiti embrio terbaik (TQE). Selain itu, kadar TQE juga didapati lebih baik dalam kohort TFF berbanding kohort LFR. Secara keseluruhan, penemuan kajian ini menyerlahkan potensi AOA untuk meningkatkan FR dan hasil embriologi. Walau bagaimanapun, kajian lanjut yang melibatkan sampel yang lebih besar dan pelbagai pusat diperlukan untuk pengesyoran yang lebih luas.
Kata Kunci :
Kadar persenyawaan; kegagalan persenyawaan; pengaktifan oosit buatan; suntikan sperma ke dalam sitoplamik,